Wednesday 8 August 2012

Buang Bayi


Uwek, uwek, uwek…. Bunyi apakah itu ? Ya tidak lain dan tidak bukan bunyi tangisan si anak kecil yang ditinggalkan oleh ibu dan bapa tanpa belas kasihan. Inilah fenomena buruk yang menjadi buah mulut masyarakat, meniti dari bibir ke bibir individu, menjadi halwa telinga tatkala radio berbicara, penyakit mata apabila kaca televisyen bernyala dan pencemar laman sesawang tatkala ia melebarkan jalurnya. Bayi yang dilahirkan hari ini tidak lagi dilakukan seperti dahulu, tidak disambut dengan azan dan iqamah, tidak disayangi dan dihargai, sebaliknya menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia.

Tentu anda tertanya-tanya, apakah tajuk bicara kita? Tidak lain dan tidak bukan, pembuangam bayi. Bayi atau anak adalah anugerah Allah SWT yang amat berharga. Menjadi penyejuk mata dan penghibur jiwa tatkala duka. Tanggungjawab kita untuk membesarkannya dan memberikan pendidikan kepada mereka. Namun begitu, bayi hari ini kita temui di dalam tong sampah, di buang di kaki lima, di tinggalkan di hadapan masjid atau rumah kebajikan dan yang lebih buruk menjadi santapan bahaman binatang buas. Siapakah yang harus disalahkan? Apakah penyebab utama fenomena buruk ini berlaku?



Ramai masyarakat hari ini menuding jari kepada remaja yang konon nya bergelumang dengan pergaulan bebas sehingga menjerumus ke lembah hubungan initim luar pernikahan. Namun perlu dilihat disebalik mereka ini ada orang lain yang turut menyumbang kepada masalah ini. Kadang-kadang remaja yang tidak mendapat kasih sayang dari kedua orang tua nya bertindak mencari jalan lain bagi mendapatkan kasih sayang. Bermula dari sinilah muncul orang ketiga yang bergelar kekasih atau teman istemewa yang bertindak memberikan kasih sayang kepada mereka. Bermula dari berkasih sayang, dan akhir nya ke kancah penzinaan. Jadi adakah pesalah utama masih dicampakkan ke muka remaja-remaja ini?


Firman Allah S.W.T dari surah Al-Israa’ ayat 32 :

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk,” (al-Israa’: 32)

Sesungguhnya telah jelas larangan Allah tentang jangan mendekati zina, apatah lagi kalau melakukannya. Banyak hadis dan dalil-dalil tentang zina yang perlu dijauhi. Sesungguhnya perbuatan zina merupakan suatu perbuatan yang keji.

Mamang tidak dapat dinafikan tanpa penzinaan mustahil lahirnya anak, tanpa penzina lelaki dan perempuan mustahil wujudnya hubungan intim, maka oleh sebab itulah Islam menggariskan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Bukan melarang saling kenal dan berkenalan, sebaliknya memberi panduan supaya kita hidup dalam ketamadunan. Tambah pula sikap ingin tahu, sentiasa ingin mencuba dan pantang dicabar yang wujud dalam jiwa muda. Maka mereka tidak takut mencuba bila rakan lain sudah melakukannya. Islam bukan hanya mendidik masyarakat, bahkan dalam Islam anak lelaki dan perempuan sudah dipisahkan tempat tidurnya semenjak usia setahun jagung lagi. Dan pendidikan asas yang perlu dilatih sejak kecil adalah mendirikan solat. Ini kerana solat dapat menjaga diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang keji. Hal ini jelas melalui hadis berikut :
 

عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.[4]

Yang bermaksud :  Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda  Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.

Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melaksanakan perintah agama ini. Bukan setakat ibu bapa, tetapi masyarakat sekeliling patut menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ingatlah bahawa mencegah lebah baik dari mengubah. Dalam usaha menangani perkara ini, tindakan bijak dan mudah perlu digunakan, kerana kekasaran akan mengundang kesengsaraan.

Ibu bapa khususnya dan amnya masyarakat perlu berganding bahu dalam memastikan usaha yang istiqomah seperti seminar, kem motivasi dan kaunseling dijalankan. Cuba fahami keadaan mereka agar tindakan yang diambil boleh mereka terima. Pepatah melayu ada menyebut, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau cepat cabut lari. Justeru dekati mereka dengan cara mereka. Hal ini kerana kalau didekati cara yang mereka benci, akan mencurah air ke daun keladi.

Bagi kita yang mengenali mereka yang terlibat dengan perkara ini, janganlah meraka  dihalau atau disisihkan. Kalau meraka dihalau, samalah kita seperti mereka yang membuang anak ini. Kasihanilah mereka, sudah lah mereka jatuh, kita timpakan dengan tangga konkrit pula. Sebaliknya kita lah yang mesti membantu mereka membetulkan ketelanjuran yang tidak pernah menjadi impian mereka ini.
Bagi mereka yang terlibat dengan perkara ini pula, janganlah anak itu dijadikan bahan buangan. Serahkanlah kepada mereka yang sudi menerima anak itu. Nyawa anak itu begitu berharga sekali bagi seorang yang ingin menimang cahaya mata. Jangan lah menjadi orang yang terus menerus melakukan kesilapan. Cukuplah dengan penzinaan, jangan ditambah dengan membunuh orang pula.
Sebelum terlupa, bagi yang tidak terlibat dengan perkara ini, banyaklah berdoa. Warnailah kehidupan kita dengan warna warni keislaman dan keimanan. Mudah-mudahan yang demikian itu akan menyelamatkan kita dari diuji oleh Allah SWT dengan perkara yang berat seperti ini.



No comments:

Post a Comment