Wednesday 8 August 2012

Penyalahgunaan Laman Sosial



Zaman telah berubah, penggunaan perkhidmatan jalur lebar amat meluas di negara kita sekarang. Laman-laman sosial amat popular dikalangan remaja dan golongan dewasa. Seawal usia 7 tahun, kanak-kanak dinegara kita sudah pandai melayari internet, memuat turun lagu-lagu atau pun permainan komputer sendiri. Tetapi, terlalu ramai remaja yang menyalah gunakan kemudahan tersebut.


            Remaja sekarang terlalu pandai melayari dan mempergunakan internet kearah perkara yang negatif. Mereka mencipta laman-laman sesawang yang tidak sepatutnya. Membuka satu kumpulan dalam laman sosial yang mengajak remaja lain kearah maksiat , jenayah dan sebagainya. Dengan adanya laman sosial yang popular sekarang contohnya facebook dan twitter, memudahkan lagi remaja-remaja yang bermasalah untuk mengajak remaja lain supaya menjadi penyokong mereka tanpa pengetahuan ibu-bapa.


            Perkara ini sepatutnya dipandang serius oleh golongan dewasa yang lebih matang dalam mendidik remaja supaya jangan sesekali terlibat dengan laman sosial yang boleh mengundang bahaya ataupun menyesatkan akidah dan pegangan Agama. Terlalu banyak sekarang remaja yang menyalah gunakan laman sosial yang sepatutnya amat bermanfaat untuk semua. Remaja-remaja ini sepatutnya dipantau aktiviti mereka dalam laman sosial yang mereka lawati. Ibu bapa sememangnya inginkan anak mereka maju seiringan dengan kemodenan zaman sekarang. Menaruh kepercayaan penuh terhadap anak tidak salah. Cuma sesekali haruslah dipantau.

            Para remaja juga harus menggunakan peluang yang diberi oleh ibu-bapa sebaik mungkin, bukannya mengambil kesempatan atas kebaikan ibu-bapa tadi. Remaja memang terlalu cepat terpengaruh dengan benda-benda yang salah. Perasaan ingin mencuba yang terlalu tinggi menyebabkan ramai remaja terjerumus melakukan kesalahan yang kadang-kadang mereka tidak ketahui. Heboh dalam laman sosial baru-baru ini, kes remaja yang memuat naik gambar-gambar peribadi mereka yang melampau dan kemudian di eksplotasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Remaja tadi dengan bangga menayangkan diri masing-masing kepada umum, terutama sekali remaja perempuan. Dimana sifat malu remaja zaman sekarang telah semakin berkurangan. Oleh itu,pendidikan agama yang cukup harus diterapkan kepada anak-anak seawal usia kecil lagi. Ibu bapa harus tegas dalam mendidik anak-anak pada zaman moden sekarang. Anasir-anasir jahat dari luar sememangnya menunggu dan memerangkap remaja yang mereka rasa lemah dan tidak mempunyai pendirian serta mudah dipengaruhi. Bagaimana harus kita atasi masalah ini? Salah ibu bapakah yang menyebabkan anak-anak terjerumus kearah yang tidak sepatutnya? Salah remaja kah kerana mempunyai sifat ingin tahu? Atau kita salahkan saja kepada pihak yang mencipta laman sosial? salahkah kemodenan datang ke negara kita? Pelbagai persoalan yang timbul kerana isu tersebut. Semua pihak akan menyalahkan pihak yang lain. Tidak akan ada pihak yang mengakui kesalahan mereka dimana setiap kesalahan tidak boleh hanya diserahkan kepada pihak tertentu sahaja tetapi sebenarnya semua pihak harus bertanggungjawab. Ibu bapa dengan tanggungjawab didikannya dirumah, guru-guru dengan pengajaran di sekolah, pihak-pihak berkuasa dengan tanggungjawab  masing-masing dan kita sebagai masyarakat yang hendaklah sentiasa prihatin dengan setiap masalah yang berlaku walaupun ia tidak melibatkan keluarga kita. Diharap kita semua menjalankan tanggungjawab masing-masing agar segala gejala negatif yang berlaku dapat dikurangkan seterusnya dihapuskan.

Walaupun kebiasaannya masalah yang ditimbulkan berkenaan salah guna laman sosial dibabitkan dengan remaja atau golongan muda, ini tidak bermakna golongan dewasa tidak terlibat dalam masalah tersebut. Cuma golongan  remaja dan golongan muda inilah yang lebih ramai menggunakannya.


Tidak dapat dinafikan juga kemudahan laman sosial terutamanya facebook pada zaman sekarang telah banyak menjerat golongan dewasa dan berkeluarga untuk menggunakannya kearah yang negatif. Ramai pasangan yang telah berumahtangga retak hubungan kekeluargaannya kerana pasangan tersebut telah berjumpa kembali  kawan-kawan dan kekasih lama yang telah sekian lama tidak berhubung. Dengan berhubung melalui facebook , menjadikan hubungan mereka menjadi kembali akrab dan perbincangan yang dari mulanya hanya melibatkan kisah-kisah lama menjadi perbincangan yang lebih rapat sehinggakan tidak sedar menceritakan masalah keluarga yang sepatutnya tidak ditimbulkan.

Oleh itu, semua golongan hendaklah sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain supaya setiap apa yang kita lakukan tidak menjerumuskan kita kearah perkara yang negatif.  Walaupun kita digalakkan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim sesama islam, ia juga mempunyai batasnya terutama bagi lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini kerana apa yang lebih penting ialah menjaga hubungan kekeluargaan agar lebih erat kerana ia merupakan  satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti. Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati.


Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 1:


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاء وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِي تَسَاءلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu..”


Ayat ini menunjukkan kepentingan menjaga silaturrahim sesama masyarakat terutamanya kaum kerabat. Jadilah orang yang sentiasa menghargai perhubungan yang telah dijalinkan dan hendaklah semuanya berpaksi kerana Allah S.W.T.


Sebagai akhir kata, marilah sama-sama kita renungkan kata-kata tersebut. Semoga sedikit sebanyak dapat menjadi peringatan kepada kita…


Hati-hati Dengan Facebook - TG Dr Abdul Basit

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.


Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.  Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.


Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.






No comments:

Post a Comment