Wednesday 8 August 2012

Riadah di Masa Lapang


Setiap orang mempunyai hobi tersendiri untuk mengisi masa lapang. Memancing, melukis, berburu, bersukan, berenang, memanah, memasak, menjahit dan berbagai-bagai lagi aktiviti lain yang boleh mengisi dan memberi faedah pada setiap individu. Pada zaman yang serba moden ini, hobi-hobi yang dulunya popular nampaknya agak pupus dikalangan masyarakat moden.



            Seiringan dengan kemodenan zaman sekarang, ramai diantara kita mempunyai hobi baru contohnya melayari internet, bermain permainan video dan bermacam-macam aktiviti lain yang ada kaitannya dengan internet. Masa lebih banyak dihabis kan didepan komputer. Terutamanya dengan palbagai gajet-gajet barfu yang diperkenalkan. Dari sekecil-kecil usia sudah pandai bermain ipad, pelbagai jenis tab dan sebagainya. Pantang ada cuti mesti seharian duduk dan melayari internet. Masyarakat pada masa kini lebih banyak berehat-rehat dan melakukan aktiviti yang kurang sihat. Hanya duduk seharian tanpa melakukan senaman ditambah pula dengan membawa makanan ringan bersama sewaktu melayari internet. Semua ini adalah punca kepada banyaknya penyakit kronik di negara kita.



            Tanpa senaman badan kita tidak akan membakar lemak-lemak yang berlebihan di dalam badan kita. Perjalanan darah juga mungkin akan terganggu. Pengumpulan lemak yang berlebihan juga amat berbahaya untuk kesihatan jantung kita. Mengambil makanan ringan sambil melayari internet akan menambahkan lagi masalah kesihatan yang bakal timbul. Semua ini kita tidak sedari. Seharian di hadapan komputer juga akan mendedahkan mata kita kepada bahaya.

            Bagaimanakah kita dapat memberi kesedaran kepada masyarakat diluar sana supaya mempunyai hobi yang lebih berfaedah dan menyihatkan badan kita. Saya juga tidak lepas dari hobi melayari internet yang merupakan salah satu tempat pembacaan bagi saya sebagai pengganti buku . Tetapi satu hari saya terfikir,  berat badan saya semakin bertambah. Walau pun saya mengamalkan diet yang seimbang tetapi berat saya masih juga belum berkurangan. Kadang-kadang saya menyekat pengambilan makanan berat untuk mengatasi masalah saya ini. Kemudian saya terfikir, apa yang saya buat seharian. Ini menunjukkan pentingnya riadah dalam kehidupan kita. Sekirannya ada masa lapang saya akan cepat-cepat duduk di hadapan laptop dan ipad. kadang kala tanpa disedari kita melayari internet dalam masa yang agak lama.


            Dengan kesedaran inilah saya menyarankan supaya kita melakukan kembali hobi-hobi lain seperti apa yang pernah kita lakukan dulu. Sekarang berat saya kembali normal seperti yang sepatutnya. Sekiranya ada masa lapang saya akan bercucuk tanam di kawasan rumah saya. Walaupun saya hanya tinggal dirumah kerajaan ia tidak menghalang saya untuk melakukan hobi tersebut, malah memberi banyak manfaat apabila hasil tanaman saya Berjaya dikongsi bersama jiran-jiran.



Kadang kala saya akan pergi memancing bersama keluarga memandangkan tidak jauh dari kawasan tempat tinggal saya iaitu Kampung Telaga Air merupakan pusat bagi kaki pancing memancing di hujung minggu. Aktiviti seperti ini disamping menyihatkan badan, ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan kejiranan. Saya bukan mengatakan melayari internet penyebab kepada penyakit kronik, tetapi tanpa kita sedari kita yang menjemput penyakit datang kerana terlalu asyik melayari internet tanpa melakukan aktiviti yang boleh menyihatkan badan. Melayari internet memang ada faedahnya yang tersendiri. tetapi kadang kala tubuh kita juga memerlukan kita melakukan aktiviti lain pada masa lapang dan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh. Kesihatan amat bernilai. Sekiranya penyakit sudah menjenguk, pasti susah hendak mengubati.lebih baik kita mengawal sebelumnya datang penyakit.



Umat islam tanpa mengira usia adalah sangat penting untuk memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti riadah agar kecergasan tubuh badan dapat dikekalkan dan mengelak daripada datangnya pelbagai penyakit agar segala amal ibadah yang ditunaikan dapat dilakukan dengan sempurna dan tanpa gangguan. Rasululllah S.A.W sentiasa mengingatkan umatnya untuk menjaga kesihatan jasmani dan rohani, mempunyai badan yang kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan.  Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal juga akan menjadikan timbulnya rasa gerun dikalangan musuh islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman terhadap umat islam.

Rasulullah S.A.W bersabda :

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)


Riadah bukan sahaja untuk meningkatkan kesihatan dan kekuatan tubuh badan sahaja tetapi ia juga akan membina dan mengeratkan hubungan silaturrahim demi perpaduan ummah. Oleh itu, wajarlah kita sebagai umat islam sentiasa menghargai masa yang ada dengan mengisinya dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk meningkatkan kualiti ibadah kita.  Semoga kita semua menjadi umat yang kuat dan sihat tubuh badan. Wallahu A’lam..




No comments:

Post a Comment